JAKARTA: Dua adik-beradik bertindak nekad mahu menjual buah pinggang demi untuk membebaskan ibu mereka yang difitnah mencuri.

Farrel Mahardika Putra bersama Nayaka Rivanno Attalah memberitahu ibu mereka, Syafrida Yani kini ditahan di Polres Tangerang Selatan (Tangsel), Indonesia.

Mereka turut membawa plakad tertera 'tolong kami, kami ingin menjual ginjal untuk membebaskan bunda kami yang ditahan di Polres Tangsel'.

"Ibu saya hanya seorang penjual makanan dari rumah. Pada mulanya, dia hanya mahu membantu saudara bapa untuk mengurus rumahnya kerana dia bekerja dengan syarikat penerbangan dan sering ke luar negara," ujar Farrel.

Menurutnya, pemilik rumah memberikan telefon bimbit kepada ibunya supaya mudah dihubungi dan wang tunai berjumlah 10 juta rupiah (RM2,676) untuk menguruskan keperluan rumah serta membayar seorang lagi pembantu.

"Ibu saya sentiasa mencatatkan sebarang transaksi wang diberikan pemilik rumah itu. Akibat sering dimaki-hamun, ibu saya meminta untuk tidak lagi menguruskan rumah tersebut.

"Pemiliknya tidak dapat menerima keputusan ibu saya lalu membuat aduan di Polsek Ciputat dengan tuduhan mencuri.

Tambah Farrel lagi, ibunya sudah pun mengembalikan telefon bimbit dan wang yang diberikan pemilik rumah tersebut.

"Saya mahu mendapatkan wang yang banyak untuk melawan orang yang menzalimi ibu saya. Tidak kira walaupun mereka orang berada," katanya lagi. - Sinar Harian memetik agensi