TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel turun ke jalan di Tel Aviv pada Sabtu untuk membantah keputusan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang memecat ketua agensi perisikan dalaman Shin Bet serta menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza.

Netanyahu mengumumkan awal minggu ini bahawa beliau telah hilang kepercayaan terhadap Ronen Bar, yang menerajui Shin Bet sejak 2021, dan akan memecatnya berkuat kuasa pada 10 April.

Keputusan itu mencetuskan protes selama tiga hari.

Mahkamah Agung Israel pada Jumaat mengeluarkan perintah sementara untuk membekukan pemecatan tersebut.

Netanyahu menafikan bahawa pemecatan Bar bermotifkan politik, namun pengkritiknya mendakwa langkah itu melemahkan institusi demokrasi Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel kembali berperang di Gaza minggu ini, menghancurkan gencatan senjata yang sebelum ini membolehkan pertukaran tebusan Israel yang ditahan Hamas dengan tahanan Palestin di penjara Israel.

Di Dataran Habima, di sini, para penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel sambil mendesak kerajaan mencapai perjanjian bagi membebaskan baki tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Sejak perang bermula, keluarga dan penyokong tebusan yang diculik Hamas pada serangan 7 Oktober kerap mengadakan demonstrasi, yang kadangkala turut mengkritik kerajaan.

Dengan operasi ketenteraan Israel bersambung semula, nasib 59 tebusan termasuk 24 yang dipercayai masih hidup terus menjadi tanda tanya.

Para penunjuk perasaan bimbang mereka mungkin terbunuh, sama ada di tangan penculik atau akibat serangan udara Israel sendiri.