KYIV: Serangan dron oleh Rusia ke atas Kyiv pada malam tadi telah mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencetuskan kebakaran di beberapa bangunan pangsapuri bertingkat serta di seluruh bandar, menurut pegawai Ukraine pada awal pagi Ahad.

"Serangan dron musuh secara besar-besaran ke atas Kyiv," kata Datuk Bandar, Vitali Klitschko, dalam satu hantaran di aplikasi pemesejan Telegram.

"Setakat ini, tujuh penduduk cedera. Seorang daripada mereka telah dimasukkan ke hospital."

Perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan ke beberapa daerah di bandar tersebut berikutan laporan kebakaran, tambah Klitschko.

Sisa serpihan daripada dron yang dimusnahkan telah menyebabkan kebakaran di bangunan pangsapuri bertingkat di daerah bersejarah Podil serta di daerah Dniprovskyi yang terletak di seberang Sungai Dnipro, menurut Ketua Pentadbiran Tentera Kyiv, Timur Tkachenko, di Telegram.

Skala sebenar serangan masih belum dapat dipastikan.

Saksi Reuters terdengar beberapa letupan yang dipercayai berpunca daripada sistem pertahanan udara yang sedang beroperasi.

Dua lagi orang turut cedera dan beberapa rumah rosak di wilayah sekitar ibu kota, menurut Gabenor Wilayah, Mykola Kalashnik, di Telegram.

Tiada sebarang kenyataan segera dikeluarkan oleh pihak Rusia.

Kedua-dua pihak sebelum ini menafikan bahawa mereka menyasarkan orang awam dalam perang yang telah berlarutan selama tiga tahun sejak Rusia melancarkan pencerobohan secara menyeluruh ke atas Ukraine.

Amerika Syarikat sedang berusaha untuk memacu satu perjanjian damai antara Ukraine dan Rusia serta berharap untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata separa yang dapat menghentikan serangan ke atas infrastruktur tenaga.

Namun, kedua-dua pihak masih melaporkan serangan yang berterusan.

Kyiv, wilayah sekitarnya serta bahagian timur Ukraine berada di bawah amaran serangan udara selama lebih lima jam sejak lewat malam Sabtu, menurut peta amaran Tentera Udara Ukraine.