BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dijadual berhimpun di Brussels pada Khamis untuk membincangkan sokongan lanjut kepada Ukraine serta usaha mengekalkan daya saing ekonomi blok itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perbincangan mengenai operasi ketenteraan baharu Israel di Semenanjung Gaza serta belanjawan jangka panjang EU juga termasuk dalam agenda.

Meskipun pertemuan itu dijangka tidak menghasilkan keputusan besar, Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas berharap Ukraine akan dijanjikan perolehan 2 juta peluru artileri bagi mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia yang berterusan.

Sebelum ini, inisiatif Kallas untuk mendapatkan komitmen bantuan ketenteraan bernilai EUR20 bilion (US$21.8 bilion) hingga EUR40 bilion gagal ekoran tidak memperoleh sokongan mencukupi.

Sidang kemuncak pemimpin EU seterusnya dijadualkan pada Jun.

Pertemuan kali ini juga mungkin menjadi yang terakhir buat Canselor Jerman, Olaf Scholz yang bakal digantikan oleh Friedrich Merz, pemimpin konservatif yang dijangka mengambil alih jawatan selepas pilihan raya parlimen bulan lalu.

-- BERNAMA