Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan bahawa 175 anggota tenteranya dibebaskan dari wilayah yang dikuasai Ukraine hasil rundingan yang dijalankan.
Selain itu, Moscow turut menyerahkan 175 tawanan perang (POW) Ukraine, bersama 22 anggota tentera Ukraine yang cedera parah sebagai satu "tanda keprihatinan."
Menurut kementerian itu, anggota tentera Rusia yang dibebaskan kini berada di Belarus untuk menerima rawatan perubatan serta sokongan psikologi sebelum dihantar pulang ke Rusia bagi rawatan dan pemulihan lanjut.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Ukraine Rustem Umerov pembebasan 175 anggota tenteranya, termasuk 22 lagi anggota yang cedera parah serta tiga anggota yang didakwa secara tidak adil oleh pihak berkuasa Rusia.
Umerov turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy atas usahanya dalam memastikan pembebasan tahanan, serta kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memainkan peranan penting dalam memudahkan pertukaran ini.
UAE sebelum ini bertindak sebagai perantara dalam beberapa pertukaran tahanan antara Rusia dan Ukraine, memanfaatkan hubungan diplomatiknya dengan kedua-dua negara demi membantu rundingan kemanusiaan.
-- BERNAMA
