Beliau berkata sebaliknya pemilihan dibuat berdasarkan status, pengalaman dan kelayakan individu.
"Dalam sejarah pelantikan Yang Dipertua Negeri terdapat individu iaitu dua atau tiga orang yang bukan kelahiran Pulau Pinang tetapi tetap dilantik ke jawatan itu dan Perlembagaan Negeri tidak menetapkan syarat bahawa Yang Dipertua Negeri mesti berasal dari Pulau Pinang.
"Sebaliknya pemilihan dibuat berdasarkan status, pengalaman dan kelayakan. Jadi itu (anak jati Pulau Pinang) bukan satu syarat pelantikan,'' katanya pada sidang media di sini hari ini.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketika ini, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak akan tamat penggal perkhidmatan pada 30 April ini.
Semalam, kerajaan Pulau Pinang mengesahkan telah mengemukakan senarai nama calon Yang Dipertua Negeri yang baharu kepada Pejabat Perdana Menteri bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Chow berkata beliau kekal untuk tidak mendedahkan jumlah nama dikemukakan dan ia terpulang kepada budi bicara Seri Paduka Baginda untuk membuat keputusan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menghormati budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan calon yang layak untuk memegang jawatan itu.
Ditanya sama ada budi bicara untuk melantik Yang Dipertua Negeri adalah dengan Ketua Menteri, Chow berkata ia tidak benar dan mengikut Perlembagaan Negeri Perkara 1 (1), Yang Dipertua Negeri perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berbincang dengan Ketua Menteri.
"Perbincangan dalam kes ini bermakna mengemukakan nama calon yang berpotensi melalui Pejabat Perdana Menteri yang telah kita lakukan dan semua pihak diminta bersabar dan tunggu (pengumuman rasmi)," katanya.
Terdahulu, media melaporkan mengenai calon Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi yang memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2021.
Antara nama disebut-sebut ialah bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib.
-- BERNAMA
