Jumlah penduduk negara itu mencapai 27.3 juta pada 30 Sept tahun lalu, meningkat sebanyak 484,000 orang berbanding tempoh yang sama pada 2023, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Ketua Demografi Beidar Cho, pertambahan itu merangkumi 379,800 orang melalui migrasi luar negara, yang terus menunjukkan trend penurunan dalam suku tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, pertumbuhan semula jadi -- iaitu perbezaan antara kelahiran dan kematian -- menyumbang kepada peningkatan 104,200 orang, turun tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam tempoh itu, sebanyak 291,200 kelahiran dan 187,000 kematian direkodkan.
"Australia Barat mencatat kadar pertumbuhan penduduk terpantas, meningkat 2.5 peratus dalam setahun.
"Ia diikuti oleh Victoria dengan kenaikan 2.1 peratus dan Queensland yang meningkat 2.0 peratus," kata Cho.
Pulau Tasmania mencatat pertumbuhan penduduk paling rendah dalam tempoh 12 bulan, dengan peningkatan hanya 0.3 peratus, menurut laporan.
-- BERNAMA
