KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penjawat awam yang disyaki memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Polis menahan seorang pegawai farmasi berumur 29 tahun yang disyaki memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Lelaki tersebut direman dua hari untuk membantu siasatan.
  • Menteri Perpaduan Negara menggesa polis dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW, kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun Selasa lepas.

Beliau berkata lelaki itu bersama dua lagi pengguna disyaki memuat naik komen yang menghina Nabi Muhammad SAW pada hantaran berita berkaitan Malaysia mengutuk keras kezaliman terhadap lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza, Sabtu lepas.

Razarudin berkata lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai farmasi itu kini direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Semalam Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran di media sosial.

Aaron berkata tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan serta ketenteraman awam.

-- BERNAMA