KYIV: Serangan tentera Rusia telah mengorbankan dua orang di Zaporizhzhia, ke tenggara Ukraine, manakala tiga lagi turut maut dalam serangan di bahagian utara dan timur negara itu pada lewat malam Jumaat.

Gabenor wilayah Zaporizhzhia, Ivan Fedorov, dalam hantaran di Telegram memaklumkan, bandar itu telah diserang lebih daripada 10 kali sekali gus mengakibatkan dua kematian dan sembilan orang cedera.

Dalam pada itu, penduduk yang cedera termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan manakala seorang lagi wanita berada dalam keadaan kritikal.

Terdahulu, Kremlin mengesahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah bersetuju dalam satu panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mematuhi gencatan senjata selama 30 hari terhadap sasaran tenaga. 

Namun, perjanjian itu tidak mencapai kata sepakat seperti yang diusahakan oleh AS dan telah diterima oleh Ukraine, iaitu gencatan senjata menyeluruh selama 30 hari. 

Sementara itu, tentera udara Kyiv pada Sabtu memaklumkan pertahanan udara Ukraine berjaya memusnahkan 100 daripada 179 dron yang dilancarkan oleh Rusia dalam serangan semalaman.