Agensi Anadolu melaporkan Trump, dalam satu memo lewat malam Jumaat, mengarahkan semua agensi persekutuan untuk segera menarik balik akses kepada maklumat sulit bagi lebih sedozen individu.
"Saya telah menentukan bahawa tiada lagi kepentingan negara untuk individu berikut mempunyai akses kepada maklumat sulit," kata Trump dalam arahan berkenaan.
"Saya dengan ini mengarahkan setiap ketua jabatan eksekutif dan agensi untuk mengambil semua tindakan tambahan yang perlu dan selaras dengan undang-undang sedia ada bagi membatalkan sebarang kebenaran akses keselamatan yang masih aktif."
Tindakan terbaru ini susulan keputusan Trump pada Februari untuk membatalkan kebenaran akses keselamatan bekas Presiden Joe Biden dan menghalangnya daripada menerima taklimat perisikan harian.
Pembatalan itu turut menyasarkan bekas Ahli Kongres Wyoming Liz Cheney dan bekas Ahli Kongres Illinois Adam Kinzinger, kedua-duanya ahli Republikan yang berkhidmat dalam jawatankuasa Dewan yang menyiasat serangan 6 Jan, menurut laporan itu.
Pengarah Perisikan Negara Tulsi Gabbard, sebelum ini telah mengesahkan pembatalan kebenaran akses keselamatan bagi pegawai era Biden, termasuk bekas Setiausaha Negara Antony Blinken dan bekas Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan.
Arahan itu juga terpakai kepada tokoh perundangan seperti Peguam Negara New York Letitia James dan Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg, yang kedua-duanya mengetuai usaha undang-undang terhadap Trump.
Dalam satu memo berasingan, Trump memperluaskan tindakannya dengan menyasarkan firma guaman yang terlibat dalam tuntutan mahkamah terhadap pentadbirannya.
Beliau memberikan tanggungjawab kepada Peguam Negara Pam Bondi untuk mengkaji semula organisasi undang-undang yang, pada pandangannya, terlibat dalam litigasi "tidak berasas" atau menghalang inisiatif dasar utama.
-- BERNAMA
