KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan India menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan selama lima hari yang diketuai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong ke New Delhi dan Mumbai.

Misi ini menyasarkan sektor strategik seperti semikonduktor, industri kimia, dan tenaga boleh baharu, sejajar komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama ekonomi melalui Perkongsian Strategik Komprehensif yang dimeterai tahun lalu.

"Di New Delhi, Ching Tong telah mengadakan mesyuarat dua hala yang produktif dengan Yang Berhormat Shri Jitin Prasada, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri serta Menteri Negara bagi Elektronik dan Teknologi Maklumat India.

"Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam sektor semikonduktor dan membangunkan jalinan kerjasama yang berstruktur melalui pendekatan tiga peringkat, iaitu hubungan kerajaan dengan kerajaan, perniagaan dengan perniagaan, serta dialog dan kerjasama antara persatuan industri.

"Diharapkan kedua-dua kerajaan akan memeterai perjanjian kerjasama dalam bidang semikonduktor pada masa terdekat," jelas MITI dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Delegasi turut mengadakan sesi meja bulat dengan 30 pemimpin industri serta lapan persatuan perniagaan di Mumbai, bertujuan mengukuhkan hubungan industri dan menarik pelaburan selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Negara.

Antara pertemuan penting ialah dengan Menteri Kerajaan Negeri Maharashtra, negeri yang menyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu dan menawarkan peluang besar dalam sektor makanan serta logistik.