KUALA LUMPUR: Pada minggu lalu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengalami penurunan terbesar tahun ini, menembusi paras sokongan utama 1,490-1,500.

Indeks komposit merosot sebanyak 35.32 mata (-2.32 peratus) dalam satu sesi, mencerminkan tekanan jualan besar-besaran.

Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, sektor pembinaan, perkhidmatan kewangan dan tenaga turut terjejas dengan penurunan ketara.

"Walau bagaimananpun, pemulihan berlaku pada Khamis, walaupun ketidaktentuan pasaran masih berterusan", kata Sedek.

Beliau menggariskan beberapa faktor yang mempengaruhi keadaaan pasaran semasa:

1. Punca kejatuhan FBM KLCI

- Faktor Luaran: Risiko kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang semakin nyata, dengan pertumbuhan ekonomi AS 2025 diturunkan daripada 2.2 peratus kepada 1.7 peratus.

Ini menyebabkan jualan besar-besaran di Wall Street, yang turut memberi kesan kepada pasaran Malaysia.

- Faktor Domestik: Aliran keluar dana asing yang berterusan dan ketidaktentuan dasar perdagangan AS memberi tekanan tambahan kepada Bursa Malaysia.

Sentimen pelabur domestik yang berhati-hati terhadap prospek ekonomi turut menyumbang kepada kejatuhan FBM KLCI.

2. Pemulihan FBM KLCI pada Khamis

- Data Inflasi AS: Data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan (2.8 peratus YoY berbanding 2.9 peratus) meningkatkan spekulasi bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) mungkin mempercepatkan pemotongan kadar faedah, memberikan kelegaan sementara kepada pasaran global.

- Pemburuan Saham Murah: Kejatuhan mendalam sebelumnya menyebabkan banyak saham berada dalam zon terlebih jual.

"Ini mendorong pelabur untuk melakukan pemburuan saham murah, terutamanya dalam sektor pembinaan dan perbankan", tambahnya.

3. Pengaruh Aliran Keluar Dana Asing

- Penurunan Pegangan Asing: Aliran keluar dana asing yang berterusan memberi kesan kepada Bursa Malaysia.

Pegangan asing dalam ekuiti tempatan merosot ke paras 19.4 peratus yang merupakan paras terendah dalam sejarah.

- Faktor Ketidaktentuan Global: Ketidaktentuan dasar perdagangan AS dan kelembapan ekonomi global menyebabkan pelabur asing beralih ke pasaran lain seperti Indonesia dan Vietnam, walaupun asas ekonomi Malaysia kekal kukuh.

4. Ketidaktentuan Pasaran: Adakah pemulihan berterusan?

- Risiko Kemelesetan AS: Ketidaktentuan pasaran dijangka berterusan selagi risiko kemelesetan AS masih tinggi.

"Pelabur akan terus memantau keputusan dasar The Fed serta data ekonomi untuk menilai perkembagan ekonomi AS", katanya.

- Tekanan Jualan Berterusan: Jika FBM KLCI gagal bertahan di atas paras 1,500-1,521, tekanan jualan boleh meingkat semula, terutamanya dengan aliran keluar dana asing yang berterusan.

5. Pelaburan terbaik dalam ketidaktentuan pasaran

- Sektor Perbankan dan Pembinaan: Sektor perbankan tetap menarik kerana potensi pemotongan kadar faedah dapat merangsang permintaan kredit.

Manakala, sektor pembinaan pula terus mendapat sokongan melalui projek infrastruktur domestik.

- Saham Dividen Tinggi: Pelabur boleh mempertimbangkan saham yang menawarkan dividen tinggi seperti REITs dan utiliti yang memberikan pendapatan stabil dalam pasaran lemah.

- Sektor Tenaga: Bagi pelabur dengan toleransi risiko lebih tinggi, sektor tenaga boleh menjadi pilihan, tetapi harus dipantau dengan teliti berikutan turun naik harga minyak yang mempengaruhi harga saham dalam sektor ini.

Kata beliau, dalam persekitaran tidak menentu, pelabur perlu mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan berasaskan nilai (value investing).

Ini akan membantu mengurangkan risiko dan meningkatkan peluang pulangan yang mampan dalam jangka panjang.