KUALA LUMPUR: Antara faktor utama yang meningkatkan kos rawatan kesihatan adalah penggunaan teknologi baharu yang melibatkan kos tinggi.

Menurut Profesor Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan IMU University, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, tidak semua inovasi baharu yang diperkenalkan perlu diterapkan dalam sistem kesihatan negara.

Berikut lima langkah penting perlu dipertimbangkan untuk menilai penggunaan teknologi dalam rawatan kesihatan:

1. Timbang kesan kos dan manfaat inovasi

"Setiap teknologi baharu perlu dinilai secara teliti bagi memastikan ia memberikan pulangan yang setimpal dengan kos yang dikeluarkan

"Tidak semua inovasi dalam rawatan kesihatan memberikan impak yang setara dengan kosnya", kata Syed Mohamed Aljunid.

Oleh itu, adalah penting untuk menimbang semula apakah teknologi baharu ini benar-benar memberikan mafaat yang lebih besar atau lebih baik berbanding kaedah sedia ada.

Penggunaan sumber kewangan yang bijak perlu diberi keutamaan.

2. Utamakan teknologi yang dapat diakses oleh semua golongan

Perlu diingat, satu cabaran besar adalah memastikan teknologi yang mahal tidak hanya menguntungkan pihak swasta, tetapi juga dapat diakses oleh semua golongan rakyat.

Teknologi kesihatan yang digunakan haruslah mampu memberi manfaat kepada setiap golongan tanpa mengira pendapatan mereka.

3. Hindari teknologi yang hanya menguntungkan pihak tertentu

"Ada kalanya teknologi baharu hanya menguntungkan industri kesihatan atau pengeluar peralatan perbuatan, namun manfaat kepada pesakit mungkin tidak seimbang dengan kos yang ditanggung," jelas Syed Mohamed Aljunid.

Oleh itu, penting untuk memastikan bahawa setiap inovasi memberi kesan yang positif kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

4. Pilih alternatif yang lebih murah dan berkesan

Ada ketika, terdapat kaedah atau teknologi yang lebih murah tetapi tetap memberikan hasil yang setara atau lebih baik berbanding teknologi canggih.

Memilih alternatif yang lebih kos efektif boleh membantu mengurangkan beban kewangan kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

5. Fokus kepada impak jangka panjang

"Dalam memilih teknologi baru, kita juga harus mempertimbangkan kesan jangka panjang, termasuk kos penyelenggaraan dan penjagaan selepas penggunaan," ujar Syed Mohamed Aljunid.

Teknologi yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi boleh menambah tekanan pada peruntukan sektor kesihatan pada masa depan.

Kenaikan inflasi yang tinggi turut memberi kesan besar terhadap ekonomi secara keseluruhan, terutama dalam sektor perkhidmatan kesihatan.

Untuk rekod, kos inflasi perubatan kasar di Malaysia berada pada 15 peratus pada 2024, lebih tinggi berbanding purata global dan Asia Pasifik pada 10 peratus.

Bagi memastikan sistem kesihatan kekal berdaya saing dan mampu milik, adalah penting untuk berhati-hati dalam memilih teknologi yang digunakan.

Hanya inovasi yang kos efektif dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat yang wajar diteruskan dalam sistem kesihatan negara.

Syed Mohamed Aljunid berkata demikian dalam program Niaga AWANI pada Khamis.