KUALA LUMPUR: Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sekadar konsep masa depan, ia kini mengubah landskap industri, pasaran pekerjaan, dan kemahiran yang diperlukan untuk masa depan.

Persoalan besar yang timbul adalah dari segi kemampuan tenaga kerja Malaysia untuk menyesuaikan diri dan berkembang, atau akan ketinggalan.

Menurut Exco WomeninTech Malaysia, Helen Selvanathan, AI bukan sekadar ancaman terhadap pekerjaan, tetapi juga peluang besar untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerja dan membuka sektor baharu yang berpotensi berkembang pesat.

Berikut adalah enam perkara utama tentang bagaimana AI membentuk tenaga kerja Malaysia dan langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan daya saing negara:

1. Bukan sekadar fokus kepada peningkatan kemahiran tetapi mempelbagaikan kemahiran (cross-skilling)

Malaysia telah lama menekankan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula untuk tenaga kerja, namun kini keperluan mempelbagaikan kemahiran menjadi lebih penting.

AI semakin meresap ke dalam pelbagai sektor, memerlukan pekerja untuk memperluaskan kemahiran mereka di luar bidang utama masing-masing.

"Kita kini menekankan keperluan untuk meningkatkan kemahiran kepada mempelbagaikan kemahiran, memandangkan AI menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian dan tenaga kerja

"Meningkatkan keupayaan tenaga kerja adalah kunci untuk memperkukuh ekonomi digital negara", katanya.

Kemahiran digital asas sahaja tidak mencukupi tetapi penguasaan AI, pembelajaran mesin (machine learning), pengkomputeran awan (cloud computing), dan keselamatan siber perlu mendapat perhatian sama agar Malaysia kekal berdaya saing.

2. Kekurangan kritikal dalam kemahiran digital lanjutan

Helen menekankan, walaupun kerajaan dan industri telah berusaha memperkasa tenaga kerja, Malaysia masih mengalami kekurangan bakat digital lanjutan yang ketara.

Permintaan terhadap penganalisis data, pakar AI, dan profesional keselamatan siber terus meningkat, memaksa syarikat bergantung kepada tenaga kerja asing.

"Jurang terbesar ketika ini adalah kekurangan kemahiran digital lanjutan

"Kita masih meminjam sumber tenaga mahir dari negara jiran atau negara maju

"Peningkatan kemahiran dalam analitik data dan pembelajaran mesin amat penting untuk menangani cabaran ini", kata Helen.

Jika masalah ini tidak ditangani, Malaysia berisiko tertinggal dalam persaingan AI global.

3. Latihan industi perlu selari dengan keperluan pasaran

Keberkesanan program latihan bergantung kepada kesesuaian dengan keperluan industri.

Inisiatif kerajaan seperti Skills Malaysia 2.0 bertujuan mengurangkan jurang kemahiran, tetapi kerjasama lebih erat antara pihak berkepentingan diperlukan.

"Kita perlu menyelaraskan program pensijilan latihan dengan keperluan industri dan piawaian global bagi memastikan tenaga kerja dapat menyesuaikan diri", katanya lagi.

Beliau berkata, tanpa pengiktirafan yang sesuai dan kerjasama indsutri yang kukuh, program latihan berisiko menjadi tidak relevan dengan keperluan pasaran kerja.

4. AI tidak akan menggantikan pekerja, tetapi ia akan mengubahnya

Ketakutan utama berkaitan AI adalah penggantian pekerjaan secara automatik.

Walaupun sesetengah tugas akan diambil oleh AI, peluang baharu akan muncul tetapi bagi mereka yang bersedia mengadaptasinya.

"Untuk mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan, kita perlu menekankan reskilling, upskilling dan cross-skilling

"Kerajaan telah mengenal pasti keperluan untuk melatih lebih 600,000 pekerja dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi mengekalkan daya saing negara", katanya.

Ini bermaksud tenaga kerja Malaysia mesti mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat agar kekal relevan dalam pasaran kerja yang berubah dengan pantas.

5. Pertumbuhan ekonomi berasakan AI memerlukan sokongan dasar

Selain latihan kemahiran, dasar kukuh amat diperlukan bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan AI.

Kata Helen, daripada percukaian progresif hingga jaringan keselamatan sosial, dasar yang tepat dapat memastikan pertumbuhan inklusif.

"Apabila berlaku pengangguran atau peralihan pekerjaan, sistem sokongan mesti tersedia untuk mengurangkan impak kepada individu yang terjejas", tambahnya.

Tanpa dasar tepat, jurang pekerjaan boleh menjadi lebih besar, dengan hanya tenaga kerja berkemahiran tinggi mendapat manfaat, manakala golongan lain ketinggalan.

6. Perkongsian awam-swasta akan mendorong penerapan AI

Bagi memastikan kejayaan Malaysia dalam penerapan AI, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan institusi akademik sangat penting.

Pelaburan seperti pusat data bernilai berbilion dolar oleh Google menunjukkan betapa pentingnya menarik pelabur teknologi untuk memperkukuh infrastruktur AI dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Perlaburan tersebut bernilai US$2 bilion (RM9.4 bilion), merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

AI bukan sekadar mengenai teknologi tetapi mengenai manusia dan cabaran sebenar adalah memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia untuk menyesuaikan diri, berinovasi, dan berkembang dalam dunia yang dipacu oleh AI.