Menurut kenyataan Kementerian Luar Lubnan, Rajji mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty; Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi; Menteri Perancis, Jean-Noel Barrot; Timbalan Wakil Khas AS bagi Keamanan Timur Tengah, Morgan Ortagus serta Timbalan Penolong Setiausaha bagi Hal Ehwal Levant dan Penglibatan Syria, Natasha Franceschi.
Kementerian menyatakan, tindakan itu "merupakan sebahagian daripada usaha diplomatik untuk membendung peningkatan ketegangan di selatan Lubnan dan dilakukan dengan koordinasi bersama Presiden Lubnan, Joseph Aoun serta Perdana Menteri, Nawaf Salam."
Rajji menggesa para pegawai berkenaan supaya mengenakan tekanan ke atas Israel untuk menghentikan pencerobohan dan ketegangan serta membendung situasi berbahaya di sepanjang sempadan selatan.
Perbincangan diadakan selepas Israel mendakwa penempatan Metula terkena serangan roket dari Lubnan, yang kemudian menyebabkan tentera Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan udara ke atas beberapa kampung dan bandar di selatan negara itu.
Serangan roket ke atas Metula merupakan insiden pertama seumpamanya sejak gencatan senjata antara Lubnan dan Israel dikuatkuasakan hampir empat bulan lalu.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
-- BERNAMA
