Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata, serangan itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan anggota pasukan pengaman malah mengancam kestabilan serta keamanan di rantau tersebut.
Dalam kenyataannya, Syahrir menyatakan solidariti dan sokongan penuh GPM Malaysia kepada semua anggota tentera pengaman yang bertugas, khususnya pasukan Malbatt 850-12.
"Mereka telah menunjukkan keberanian dan dedikasi tinggi dalam menjalankan tugas pengaman di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi kesejahteraan sejagat. Kami berdiri teguh bersama mereka dalam mengharungi cabaran yang sukar ini.
"Pada 9 Oktober 2024 yang lalu, GPM Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat kepada pasukan Malbatt 850-12 bagi menyampaikan sokongan moral dan kerjasama dalam usaha penyampaian bantuan.
"Kunjungan ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk menyokong usaha-usaha keamanan dan kemanusiaan yang dilaksanakan oleh Malbatt 850-12 di Lubnan," katanya.
GPM Malaysia, ujarnya, akan terus memperjuangkan keadilan dan keamanan serta mendesak komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap serangan itu. Mereka turut berharap agar keadaan dapat dikawal dan keselamatan semua anggota Malbatt 850-12 serta penduduk awam di kawasan tersebut terpelihara.