KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu bahawa keadaan pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan masih dalam keadaan terkawal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tahap keselamatan semasa pasukan adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga oleh MALBATT sepanjang tempoh perang antara kumpulan Hezbollah dan Israel.

"Semua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), termasuk MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Luban telah diarah tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik serta kekal di penempatan masing-masing.

"Mengambil kira keselamatan petugas, pasukan UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di kawasan kubu mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga keadaan terkawal.

"Seperti yang saya tegaskan pada 14 Oktober lalu, Kementerian Pertahanan akan terus memantau keadaan di selatan Luban dan akan kemas kini perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN- Tanah Merah) mengenai situasi keselamatan pasukan MALBATT dalam misi pengaman UNIFIL di Lubnan dengan mengambil kira perkembangan terkini serangan tentera Israel dan amaran daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu supaya pasukan UNIFIL segera meninggalkan selatan Lubnan.

Jelas Mohamed Khaled, pengiliran atur gerak terbaharu pasukan MALBATT 850-11 adalah dari 14 November 2023 hingga 14 November 2024 melibatkan seramai 653 anggota dan pegawai.