Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melaksanakan program bertema untuk merapatkan jurang sosial dan meraikan kepelbagaian budaya, dengan tiga objektif utama: perpaduan nasional, identiti nasional dan penghargaan perpaduan.
- Pada tahun 2025, KPN menekankan konsep Negara Bangsa dan tema "Harmoni dalam Kepelbagaian", dengan empat ikhtiar utama: Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara, dan Komuniti Sosiobudaya.
- KPN telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) untuk menangani isu perpaduan, dan memperkenalkan inisiatif Harmoni MADANI bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama dan budaya serta memperkukuhkan hubungan keharmonian.
Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata segala program yang dilaksanakan adalah berdasarkan tiga objektif digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara.
Beliau berkata objektif tersebut merangkumi pengukuhan perpaduan dan integrasi nasional yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, pembentukan identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati, dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
"Bagi 2025, KPN telah mengangkat konsep Negara Bangsa dan tema 'Harmoni dalam Kepelbagaian' sebagai fokus utama. Hala tuju tahun ini direncanakan melalui pelaksanaan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan berkaitan aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
Mengulas lanjut, Aaron berkata inisiatif Harmoni MADANI diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sekali gus memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian.
Antara program yang dilaksanakan di bawah inisiatif itu ialah Sambutan Keharmonian Sedunia, Sambutan Hari Toleransi Sedunia, Dialog Harmoni, Perarakan Harmoni, Sounds of Harmony, Unity on Wheels dan iklan perayaan.
Selain itu, beliau berkata kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) pada tahun ini yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPN Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bagi meneliti kesemua isu perpaduan di negara ini.
Menurut Aaron, JPIP turut melibatkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat pertama tahun ini dan telah melihat kesemua isu-isu sensitif dari awal tahun ini dan mereka cadangkan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Ada lebih 10 isu yang timbul baru-baru ini yang telah dibincangkan dan diberikan cadangan untuk diselesaikan," katanya menjawab soalan tambahan Halimah mengenai sejauh mana keberkesanan fungsi JPIP.
Sementara itu, Aaron menegaskan bahawa KPN tidak mempunyai sebarang garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)