KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberikan sumbangan sebanyak RM1.87 juta kepada 14 hospital dan pusat perubatan menerusi Tabung Kebajikan Hospital.

Sumbangan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam sebuah majlis yang diadakan di di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah, Kuala Lumpur sempena program Rahmah Madani Ramadan MAIWP.

Program Rahmah Ramadan Madani MAIWP yang diadakan secara tahunan ini bertujuan membantu pesakit yang kurang berkemampuan.

Dana ini bakal digunakan bagi membantu meringankan beban pesakit yang memerlukan dalam aspek pembayaran bil rawatan, kos ubatan, serta keperluan lain yang berkaitan.

Tahun ini, 14 pusat perubatan dan hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Yayasan Institut Jantung Negara (IJN Foundation) dan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) menerima bantuan MAIWP.

“Ini adalah komitmen daripada MAIWP untuk menzahirkan rasa penghargaan kepada pusat-pusat perubatan dan hospital ini yang memberikan sumbangan dan bantuan, rawatan kepada pesakit-pesakit di hospital dan tempat perubatan masing-masing,” kata Mohd Na’im.

Selain itu, MAIWP turut menyediakan bantuan khas berupa sebuah bas ulang alik bernilai RM229,000 bagi kegunaan pesakit dan waris.
   
Sebanyak RM200,000 turut disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Bakti Kasih (PKBK) bagi menyalurkan makanan berbuka puasa kepada 10,000 petugas barisan hadapan di hospital terpilih.

MAIWP turut menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang membolehkan program kebajikan seperti ini diteruskan.