Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata kejayaan itu hasil maklumat risikan kementerian berkenaan selama seminggu ke atas sebuah syarikat pemborong minyak diesel di Pantai Remis.
Beliau berkata tindakan bermula apabila penjejakan ke atas sebuah lori tangki membawa kepada penemuan sebuah tempat pelombongan pasir.
"Walaupun memiliki permit yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan diesel, syarikat ini hanya dibenarkan menyimpan 15,000 liter, namun didapati melebihi had yang dibenarkan di dalam permit menyimpan.
"Siasatan awal juga menemukan 16,380 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam tangki skid dan sebuah lori tangki disita dengan nilai sitaan dianggarkan RM192,208," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata rampasan dilakukan sepasukan pegawai dan penguat kuasa KPDN Manjung kerana pihak syarikat gagal mematuhi peraturan lokasi penyimpanan bahan bakar berkenaan seperti yang termaktub dalam permit.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
"Jika disabit kesalahan, denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.
Beliau berkata KPDN Perak akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.
"Pihak pembekal minyak diesel yang menjual kepada syarikat ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
-- BERNAMA
