Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomi berkata dalam serbuan di sebuah stor sekitar 3 petang itu, pihaknya telah menemukan tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14 kilogram (kg) serta sebuah lori tangki yang dipercayai mengandungi LPG.
"Siasatan awal mendapati stor tersebut disyaki memindahkan gas daripada tong berkapasiti 14kg bersubsidi ke lori tangki bagi tujuan penyelewengan atau decanting.
"Selain itu, 1,743 unit tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14kg, sebuah lori tanker yang berisi LPG dianggarkan seberat 24,724kg serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan, turut disita. Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM860,000," katanya dalam kenyataan.
Lilis Saslinda berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
"KPDN Johor tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata KPDN juga mengalu-alukan aduan awam dan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di 019-848 8000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA
