Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata serbuan pada kira-kira 6.30 pagi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan susulan maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran air ketum di lokasi tersebut.
Beliau berkata empat suspek yang ditahan berusia 24 hingga 54 tahun.
"Hasil pemeriksaan menemukan 855 bungkus plastik cerah berisi cecair keperangan disyaki air ketum sebanyak 855 liter dan cecair disyaki kodein (ubat batuk) yang disembunyikan dalam peti sejuk dan tong besar.
"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM26,640, termasuk peralatan yang digunakan," katanya.
Ahmad Shafiki berkata saringan awal air kencing terhadap keempat-empat suspek didapati negatif dadah namun semakan rekod lampau mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan berkaitan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, serta menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketum.
-- BERNAMA
