KUALA LUMPUR: Golongan pelajar asnaf yang terpilih sebagai penerima biasiswa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) harus menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk mengubah nasib diri dan keluarga mereka yang terbelenggu dengan kemiskinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, selain itu mereka juga diseru untuk terus menunjukkan akhlak yang baik, sebagai sebahagian daripada usaha menunjukkan keluhuran Islam kepada golongan bukan Islam.

“Kejayaan ini bukan setakat SPM dan sebagainya, kalau di peringkat bawahan … komitmen untuk mengubah nasib keluarga kena tanam dalam hati dan fikiran.

“MAIWP dan pembayar zakat setakat membantu dari sudut kewangan, tapi tekad untuk ubah keluarga daripada kepompong kemiskinan, anak-anak inilah yang harus bertekad … satu hari nanti apabila anak-anak sudah berjaya dalam kehidupan, jadilah di antara mereka yang bayar zakat dan bantu golongan susah.

“Inilah misi dan matlamat yang kita tanam dalam agensi MAIWP untuk kita bawa rakan-rakan dan sahabat asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya lagi.

Mohd Na’im berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Penyampaian Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas untuk mahasiswa institusi dalam dan luar negara, pelajar asnaf di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di sini pada Rabu.

MAIWP dalam satu kenyataan berkata, sebanyak RM230.63 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2025 untuk meningkatkan modal insan, dengan RM5.8 juta adalah untuk bantuan biasiswa.

Peruntukan itu merangkumi RM3.085 juta bagi 80 mahasiswa IPT dalam dan luar negara, RM2.46 juta kepada 259 pelajar sekolah menengah, selain bantuan insentif khas RM200,000 kepada 200 pelajar asnaf SBP, dan RM140,000 kepada 140 pelajar asnaf MRSM.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, ibu bapa kepada pelajar terpilih diharap untuk tidak lagi bimbang berkenaan soal kewangan, sebaliknya terus mendoakan dan memberi dorongan agar anak-anak mereka tidak terhenti di pertengahan jalan.

“Ibu bapa tak perlu bimbang, kalau di tengah jalan tak ada duit (untuk kos pendidikan). Jadi MAIWP berharap agar bab kewangan tak perlu bimbang, it will be taken care of by MAIWP. 

“Ibu bapa perlu beri dorongan, terus doakan anak anak, dan anak-anak penerima biasiswa terus belajar sehingga cemerlang. Sekadar ilmu saja tak guna, kalau ada ilmu pengetahuan tinggi tapi tak ada akhlak, tak ada adab, tak ada nilai murni sebagai pelajar berilmu, itu pun tak guna juga,” katanya lagi.

Mohd Na’im berkata, dengan bantuan tersebut, penerima biasiswa bukan sahaja menjadi cemerlang dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam hubungan dengan Allah, sesama manusia, termasuk rakan-rakan bukan Islam.