Ringkasan AI
- MAIWP memperuntukkan RM19.97 juta untuk program pengimarahan masjid dan surau sepanjang Ramadan, termasuk bantuan kepada 94 masjid, 146 surau Jumaat, dan 675 surau di Wilayah Persekutuan.
- MAIWP menyalurkan bantuan Ramadan sebanyak RM500 kepada golongan asnaf, melibatkan dana zakat berjumlah RM16.148 juta.
- MAIWP memperuntukkan RM9.45 juta untuk Program Iftar Rahmah Madani dan mengumumkan kenaikan imbuhan sebanyak RM200 bagi imam ratib, pembantu bilal, dan noja di masjid serta surau Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Bantuan Pengimarahan Ihya’ Ramadan kepada 94 masjid, 146 surau Jumaat dan 675 surau di Wilayah Persekutuan.
“Setiap masjid menerima RM30,000, surau Jumaat sebanyak RM25,000, manakala surau menerima RM20,000 bagi tujuan pengimarahan sepanjang Ramadan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan 2025 di ibu negara, pada Rabu.
Selain itu, MAIWP turut menyalurkan bantuan Ramadan sebanyak RM500 kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan, melibatkan dana zakat berjumlah RM16.148 juta.
“Bantuan ini diberikan sebagai persediaan bagi golongan asnaf menyambut bulan Ramadan dengan lebih sempurna,” jelasnya.

Dalam pada itu, MAIWP memperuntukkan RM9.45 juta bagi Program Iftar Rahmah Madani untuk masjid terpilih, susulan sambutan baik terhadap program berkenaan sebelum ini.
Beliau turut mengumumkan kenaikan imbuhan sebanyak RM200 bagi imam ratib, pembantu bilal dan noja di masjid serta surau Jumaat, menjadikan setiap penerima memperoleh antara RM850 hingga RM1,550 sebulan.
“Saya dan MAIWP mengharapkan agar dengan bantuan yang diberikan ini, pengerusi masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan akan merancang untuk membuat program dalam bulan Ramadan ini.
“Saya tekankan untuk program yang benar dapat menjadikan masjid dan surau ini sebagai tempat penyatuan ummah.
"Mereka perlu memainkan peranan untuk mengadakan program yang boleh menarik minat khususnya anak muda,” tambahnya.
Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bersetuju menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM7, RM15 dan RM22, bergantung kepada jenis beras yang dimakan.
