KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa memantau dari semasa ke semasa berhubung keadaan dan keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan yang menyertai misi pengaman di sana.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Malaysia sentiasa memantau keadaan dan keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan melalui Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.
  • Pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 November hingga 18 November untuk menggantikan pasukan sedia ada yang tamat tempoh.
  • Malaysia bersama 33 negara penyumbang anggota UNIFIL mengecam tindakan serangan Israel dan mengambil langkah tegas dalam isu Palestin, walaupun menghadapi risiko politik.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob sentiasa memaklumkan setiap perkembangan pasukan pengaman tersebut.

“Setakat ini, Duta Besar Malaysia ke Lubnan masih di Beirut, memantau keadaan dan ada giliran penukaran pasukan sedia ada kepada yang baharu kerana tamat tempoh.

“Mereka dijangka tiba di tanah air sekitar 6 November hingga 19 November depan, kemudian penggantian kumpulan MALBATT yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan khas di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor memaklumkan, penghantaran dan penugasan Pasukan MALBATT di selatan Lubnan akan diteruskan dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 hingga 18 November ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah Angkatan Tentera Malaysia melalui Markas Angkatan Bersama menerima makluman bahawa Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Menurutnya, UNIFIL telah menetapkan tarikh pertukaran bagi semua pasukan termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.

Sementara itu, Anwar menegaskan, Malaysia bersama 33 negara penyumbang anggota UNIFIL yang diketuai oleh Poland, telah mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan serangan Israel.

Tegasnya, dalam isu Palestin, Malaysia juga telah mengambil langkah melangkaui kesanggupan banyak negara.

Menurutnya, banyak negara telah mengingatkan beliau terhadap risiko terlalu lantang bersuara isu kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.

“Pagi tadi, saya berbincang dengan Menteri Luar, berkaitan kenyataan kita, melihat bagaimana menangani supaya Malaysia ini tidak terjejas.

“Baca buku-buku terakhir tentang peranan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat.

“Berapa pemerintahan yang mereka gulingkan kerana pendirian yang tegas yang mereka anggap bertentangan dengan pendirian mereka.

“Ini risiko yang saya fikirkan. Saya tidak ketepikan,” ujarnya.