Perlawanan itu bukan sekadar penanda aras baharu dalam revolusi skuad Harimau Malaya, malah menjadi pentas sulung pengendali dari Australia, Peter Cklamovski mengemudi pasukan negara, sejak diumumkan sebagai ketua jurulatih pada Disember lepas.
Diberi mandat untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, pengendali berusia 46 tahun itu dijangka menerapkan falsafah bola sepak menyerang berintensiti tinggi, yang menjadi identiti pasukannya.
Beberapa muka baharu termasuk dua pemain warisan terbaharu, Hector Hevel dari Belanda dan Gabriel Palmero dari Sepanyol yang tiba di tanah air minggu ini, menjadi tumpuan menjelang perlawanan itu.
Kedua-dua pemain sudah menyertai sesi latihan pasukan, namun keputusan untuk menurunkan mereka bergantung kepada penilaian Cklamovski berdasarkan keserasian dan taktikal.
Dengan ranking FIFA terkini di posisi ke-132, Harimau Malaya berada di kedudukan lebih baik berbanding Nepal yang menghuni tangga ke-175 dunia.
Dalam tiga pertemuan terakhir menentang Nepal, Malaysia mencatatkan tiga kemenangan termasuk kemenangan 5-1 pada perlawanan ujian tertutup di Shah Alam, Selangor Mac tahun lepas.
Di bawah bimbingan Cklamovski, Malaysia dijangka mengoptimumkan formasi 3-4-3 yang menekankan keseimbangan antara serangan dan pertahanan, selain menerapkan gaya permainan agresif dengan penguasaan bola yang dominan.
Kapten pasukan, Dion Cools dijangka menjadi tonggak utama di benteng pertahanan, manakala pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi bakal memainkan peranan penting di bahagian serangan dalam usaha merobek gawang lawan.
Para peminat turut menantikan kemunculan semula pemain sayap, Mohamad Faisal Abdul Halim yang kembali ke skuad kebangsaan buat kali pertama sejak insiden serangan asid pada Mei tahun lepas.
Selain itu, sekiranya diturunkan kehadiran Hevel di bahagian tengah mampu memberikan dimensi baharu kepada permainan Malaysia terutama dalam aspek kreativiti dan kawalan permainan sementara keupayaan Palermo sebagai pertahanan juga bakal diuji.
Sementara itu, Nepal yang juga dikendalikan jurulatih dari Australia, Matt Ross mungkin tampil dengan corak permainan bertahan sambil mencari peluang melalui serangan balas pantas menerusi gandingan penyerang Gillespye Jung Karki dan Anjan Bista.
Skuad dengan julukan The Gorkhalis itu turut meraih tonik berharga apabila berjaya menewaskan Singapura 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Jumaat lepas.
Bagaimanapun, dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri serta kualiti pemain yang lebih tinggi, Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan, mencipta lebih banyak peluang dan meraih kemenangan.
Namun, anak buah Cklamovski perlu berwaspada terhadap ancaman serangan balas Nepal yang berpotensi mencetuskan kejutan, jika gagal mengekalkan disiplin dan fokus.
Kemenangan terhadap Nepal bukan sahaja penting untuk mendapatkan tiga mata pertama, tetapi juga untuk memberikan momentum positif kepada era baharu Harimau Malaya di bawah kendalian Cklamovski.
Malaysia berpeluang untuk membuat penampilan kedua berturut-turut di pentas Piala Asia selepas edisi 2023 di Doha, Qatar yang menyaksikan skuad negara mengakhiri saingan kumpulan di tempat terakhir dengan mencatat dua kekalahan dan satu seri.
Selain Nepal, Malaysia turut bakal berdepan cabaran Vietnam dan Laos dalam saingan Kumpulan F.
-- BERNAMA
