PONTIAN: Air jagung Gopi yang dijual bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohammad Gopi Rizqi, 36, di hadapan rumahnya di Kampung Api-Api di sini, sempena bulan Ramadan ini 'laku keras' selepas terjual lebih 150 bungkus setiap hari.

Pemain Sri Pahang FC itu berkata beliau pada mulanya sekadar mencuba-cuba untuk menjual air balang termasuk air jagung dan air mata kucing selepas tidak bermain bola sepak pada Ramadan tahun ini kerana Liga M3 musim 2024 sampai ke penghujungnya.

Beliau berkata pada hari pertama, jualan bagi kedua-dua air balang itu hanya laku sekitar 30 bungkus, namun setelah kisahnya menjual air balang viral di media sosial, beliau kini tidak menang tangan.

"Alhamdulillah... Rezeki itu ada, pada mulanya menjual air balang ini hanyalah untuk mengisi masa lapang ketika Ramadan dan mencari 'duit poket' untuk Aidilfitri tetapi setelah sambutan menggalakkan, saya akan fikirkan untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan selepas raya nanti.

"Saya juga cukup terkejut apabila ada peminat yang datang dari jauh untuk membeli air balang... Kini, saya bukan sahaja sibuk membungkus air tetapi perlu melayan dan bergambar bersama mereka," katanya ketika ditemui Bernama.

Menjadikan kejayaan pelawak terkenal Amir Raja Lawak, yang turut menjual air jagung sebagai inspirasi, beliau perlu memikirkan masa depannya untuk terus berniaga kerana kebiasaannya bagi pemain bola sepak berusia seperti itu sudah berada di penghujung karier.

Gopi berkata beliau juga tidak menyangka jualan air balang itu turut mendapat perhatian bekas majikan, yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail.

"Saya menerima panggilan daripada Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor itu pada Khamis lepas dan diminta hadir ke Johor Bahru pada Jumaat untuk bertemu baginda.

"Saya tidak sangka TMJ (Tunku Ismail) masih mengenali saya selepas kali terakhir saya bermain dengan JDT pada 2017. Perasaan saya bercampur-baur, ada gembira, terharu dan juga bangga kerana baginda masih mengingati saya," katanya.

Sementara itu, peminat bola sepak tempatan Zafarullah Abdullah, 42, sanggup datang dari Gelang Patah, Iskandar Puteri semata-mata mahu membeli air balang berkenaan dan bertemu dengan pemain sayap yang lincah di padang itu.

Ruslee Ishak, 52, yang berasal dari Tanjung Piai berkata beliau seronok dapat bertemu dengan pemain kegemarannya itu dan tidak menyangka dapat berbual-bual serta berswafoto bersama kerana sebelum ini hanya melihatnya beraksi di padang.

Terdahulu, semasa zaman kegemilangannya, Gopi bermain bersama beberapa pasukan seperti Pahang dari 2010-2015, Selangor (2016), JDT (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020), serta turut menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.

-- BERNAMA