Persekutuan Bola Sepak Pakistan sebelum ini digantung buat kali ketiga dalam tempoh kurang daripada lapan tahun selepas menolak pindaan yang disyorkan FIFA terhadap peraturannya.
Minggu lepas, badan induk itu mengadakan kongres luar biasa di Lahore dan meluluskan reformasi secara besar-besaran, membolehkannya menyertai pusingan kelayakan Piala Asia AFC 2027.
Pasukan Pakistan dijadual menyambung semula penyertaan dalam kejohanan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia bulan ini susulan penarikan balik penggantungan itu.
Pakistan akan memulakan kempen dengan menentang Syria pada 25 Mac dalam Kumpulan E.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada FIFA dan AFC atas sokongan berterusan mereka terhadap bola sepak Pakistan serta mengucapkan tahniah kepada komuniti bolasepak negara ini," menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Pakistan menerusi media sosial.
-- BERNAMA
