BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan pembinaan tembok di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja bagi mengekang penyeberangan sempadan secara haram dan menyekat pergerakan sindiket pusat panggilan.

Jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata, Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra menzahirkan rasa terima kasih kepada agensi kerajaan serta pihak swasta atas usaha mereka dalam membanteras aktiviti sindiket pusat panggilan yang telah menunjukkan kemajuan ketara.

Beliau melakukan lawatan kerja ke Sa Kaeo, sebuah wilayah di timur Thailand dan Poipet, sebuah bandar di barat Kemboja pada 28 Feb.

Jirayu berkata, Perdana Menteri menekankan keperluan untuk usaha berterusan dan mencadangkan beberapa langkah, termasuk mengkaji kebolehlaksanaan tembok sempadan, perolehan peralatan X-ray untuk memeriksa barangan di pintu masuk dan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang sempadan.

"Perdana Menteri mengarahkan agensi berkaitan untuk menyegerakan kajian mengenai pembinaan tembok di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja bagi menangani penyeberangan sempadan secara haram dan aktiviti sindiket pusat panggilan," kata Jirayu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan telah ditugaskan untuk menyelaraskan dengan pihak berkuasa Kemboja bagi mencapai persetujuan bersama mengenai langkah-langkah yang dicadangkan.

Jirayu turut memaklumkan, Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Kastam di bawah Kementerian Kewangan supaya menilai keperluan untuk mendapatkan sistem terowong sinar-X di pusat pemeriksaan kastam di sepanjang sempadan.

"Ini akan meningkatkan kecekapan pemeriksaan terhadap barangan yang mencurigakan ketika pemeriksaan kastam," katanya sambil menambah bahawa Kementerian Dalam Negeri serta agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah diarahkan untuk menilai kebolehlaksanaan pemasangan lebih banyak CCTV bagi meningkatkan pemantauan di kawasan sempadan.

Sementara itu, Jirayu berkata, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha membanteras sindiket pusat panggilan, khususnya untuk melaksanakan langkah seperti memotong isyarat internet dan telefon serta mengurangkan ketinggian dan kekuatan menara penghantaran yang terbukti berkesan.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi amaran mengenai potensi kesan terhadap akses penduduk tempatan kepada perkhidmatan telekomunikasi. Walaupun kemajuan telah dicapai, beliau (Paetongtarn) menggesa semua agensi untuk terus bekerja secara konsisten.

"Beliau juga meminta sebarang halangan dilaporkan segera kepada kerajaan untuk tindakan penyelesaian segera," tambah Jirayu. - BERNAMA