PUTRAJAYA: Putrajaya bersedia menjadi hab cita rasa Asia Tenggara dengan penganjuran Festival Makanan Ramadan ASEAN Putrajaya (PRAFF) 2025 yang berlangsung bermula pada hari ini hingga 28 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif PjH, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, festival itu bertujuan meraikan kepelbagaian budaya ASEAN melalui keunikan tradisi kulinari sekali gus menyatukan masyarakat dalam semangat perpaduan dan penghargaan.

"Festival ini ialah bukti kepada masyarakat dinamik yang dibangunkan di Putrajaya, dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat berkumpul untuk meraikan dan menghargai kepelbagaian budaya ASEAN," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa di sini pada Isnin.

Izwan berkata pencinta makanan boleh menikmati pelbagai hidangan asli dan fusion dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja, dengan setiap hidangan mencerminkan budaya dan seni kulinari di rantau ini. - BERNAMA