Gol yang dijaringkan menerusi sepakan penalti itu bukan sahaja membantu kelab Liga Pro Saudi tersebut mara ke peringkat suku akhir, malah turut mencipta satu lagi rekod luar biasa dalam karier Ronaldo.
Mengikut statistik, penyerang Portugal itu kini telah menjaringkan lebih banyak gol selepas usia 30 tahun berbanding sebelum mencapai umur tersebut, sekali gus mencabar logik prestasi fizikal dalam dunia bola sepak.
Sebelum menyambut ulang tahun ke-30 pada 5 Februari 2015, Ronaldo berjaya meledak 463 gol bersama Portugal, Sporting CP, Manchester United dan Real Madrid.
Namun, selepas usia 30 tahun, jumlah golnya meningkat kepada 464, melibatkan aksi bersama Portugal, Real Madrid, Juventus, Manchester United dan kini Al Nassr.
Secara tradisinya, pemain bola sepak dianggap mencapai kemuncak prestasi mereka pada usia pertengahan hingga lewat 20-an, dengan kebanyakan kelab utama berhati-hati dalam menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain yang sudah mencecah usia 30-an.
Bagaimanapun, dengan kemajuan dalam bidang sains sukan dan pemakanan, ramai pemain dapat mengekalkan kecergasan mereka lebih lama, dan Ronaldo adalah bukti paling jelas bagaimana disiplin serta ketahanan fizikal mampu melangkaui batasan usia.
Sejak melepasi usia 30 tahun, kapten Portugal itu telah menambah koleksi kejuaraan dengan tiga daripada lima trofi Liga Juara-Juara, tiga daripada enam gelaran liga, dua daripada lima anugerah Ballon d'Or, serta kedua-dua trofi The Best FIFA Men’s Player.
Malah, pada usia 31 tahun, beliau turut membantu Portugal menjulang kejuaraan Euro 2016, trofi antarabangsa pertamanya. - Sinar Harian
