PASUKAN Sri Pahang dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Perkara itu didedahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Rabu.

“Saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat saya, bapa saudara saya, Tengku Muda, dan juga kepada pasukan legenda yang penuh sejarah, Sri Pahang kerana musim depan mereka tiada lagi... bubar terus.

“Sebab ada masalah dalam Pahang. Jadi, ini adalah berita yang sangat sedih. Macam Kedah, mereka juga pasukan bersejarah, tetapi musim depan tiada dalam liga,” kata baginda.

Tunku Mahkota Ismail turut menjelaskan bahawa masalah ini berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak cekap apabila perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperoleh.

“Masalahnya ialah salah siapa? Ini semua kerana pengurusan dana yang tidak teratur... apabila ada RM10 juta, belanja RM15 juta.

"Ini yang berlaku. Saya sedih kerana mereka tidak ada lagi, dan saya harap mereka akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kewangan serta hutang mereka,” jelas baginda.

Baginda juga menegaskan bahawa antara punca utama kejatuhan pasukan-pasukan ini adalah kerana individu yang mengendalikan liga dan kelab bola sepak tidak mempunyai minat serta pengetahuan yang mendalam dalam bidang bola sepak.

“Ini adalah masalah terbesar dalam bola sepak Malaysia. Orang yang menguruskan liga dan pasukan bola sepak tidak mempunyai minat serta pengetahuan yang cukup,” ujar baginda. - Sinar Harian