Ketika penguasaan bola dan tekanan tinggi menjadi mantra, Nuno Espirito Santo membawa Forest dengan pendekatan yang unik dan efektif di Stadium City Ground.
Biarpun kurang memukau dari segi estetika, kecekapan adalah kunci utama Espirito Santo dalam mengemudi kelab dengan bajet kecil seperti Forest.
Dengan purata penguasaan bola hanya 39.4 peratus (terendah di liga) dan jumlah hantaran terendah (9,355), mereka telah menjaringkan 45 gol dan hanya melepaskan 33 sepanjang musim ini.
Dengan 51 mata, impian kembali ke Liga Juara-Juara selepas 45 tahun semakin nyata buat bekas gergasi Eropah era 70-an dan awal 80-an, yang pernah merangkul kejuaraan pada edisi 1979 serta 1980.
Menghadapi Ipswich Town yang terancam penyingkiran di Portman Road, Forest berpeluang mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga.
Malah, Espirito Santo menegaskan, tidak masuk akal untuk mengubah pendekatan pasukan tersebut.
"Kami percaya ini cara terbaik untuk menghadapi setiap perlawanan," katanya.
Taktik pertahanan rendah Forest mungkin tidak memuaskan hati peminat bola sepak sejati, tetapi terbukti efektif, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan seri 0-0 menentang Arsenal dan kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Manchester City.
Ketika merebut bola, Forest pantas melancarkan serangan balas dengan pemain seperti Morgan Gibbs-White, Anthony Elanga, dan Callum Hudson-Odoi menyokong penyerang sensasi, Chris Wood.
Wood, penyerang klasik bernombor sembilan, telah menjaringkan 18 gol liga musim ini, dan Ipswich Town perlu mengawalnya dengan ketat jika ingin mengelak kekalahan.
Ipswich Town, yang berada di zon penyingkiran, berdepan misi mustahil untuk kekal di EPL. Mereka ketinggalan enam mata di belakang Wolverhampton Wanderers.
Sementara itu, Arsenal berpeluang merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool, apabila menerima kunjungan Chelsea.
Chelsea, bersama beberapa kelab lain, turut bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Enzo Maresca dan pasukannya hanya tujuh mata di atas Fulham. Brighton & Hove Albion dan Bournemouth juga berpeluang merebut tempat ke Eropah. - Sinar Harian
