ASTON VILLA 2 CHELSEA 1

Marco Asensio menjaringkan dua gol untuk Aston Villa bangkit menewaskan Chelsea 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi tadi.

Asensio, yang merupakan pemain pinjaman daripada Paris Saint-Germain (PSG), menjaringkan gol kemenangan Villa pada minit ke-89 hasil kesilapan penjaga gol Chelsea, Filip Jorgensen.

Asensio sebelum itu menyamakan kedudukan buat tuan rumah dengan penyudah jarak dekatnya selepas menerima hantaran ke belakang Marcus Rashford, di mana jaringan itu disahkan VAR walaupun sebelumnya dibatalkan kerana ofsaid.

Terdahulu, Enzo Fernandez meletakkan Chelsea di depan seawal minit kesembilan dengan menolak masuk umpanan Pedro Neto.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, perlu memastikan pemainnya bangkit menjelang pertemuan dengan Southampton awal pagi Rabu ini manakala Villa pula akan bertandang ke laman Crytal Palace dengan penuh berkeyakinan hasil kejayaan terbaru itu.