Kekalahan di laman Tottenham itu menyaksikan The Red Devils yang sudah sinonim dengan persembahan terumbang-ambing sejak diambil alih Ruben Amorim dari Erik ten Hag kini menduduki tangga ke-15 liga.
Jaringan James Maddison minit ke-13 sudah cukup untuk menghadiahkan kekalahan ketiga dalam empat perlawanan terakhir buat skuad Amorim dengan hanya 12 mata memisahkan gergasi bola sepak England daripada zon penyingkiran.
Manchester United sebelum ini tewas 12 daripada 25 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Red Devils tidak pernah berdepan jumlah yang banyak dalam 25 perlawanan pertama sejak musim 1973-74, ketika tersingkir dari liga teratas England tersebut.
Skuad Amorim sebelum itu sudah pun cukup terkesan dengan jumlah kecederaan pemain yang menyaksikan pengendali kelahiran Portugal tersebut menampilkan lapan pemain remaja dengan hanya satu penampilan pasukan utama di antara mereka di Stadium Tottenham Hotspur.
Namun di sebalik itu, Owen, yang menjaringkan 52 gol sepanjang berkhidmat di Old Trafford, menuding jarinya kepada pemain lebih berpengalaman Harry Maguire, Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui ketika Maddison menerkam untuk menjaringkan gol selepas Andre Onana hanya mampu menepis percubaan Lucas Bergvall.
“Apa yang mengecewakan saya lebih daripada apa-apa tentang pasukan adalah bahawa bahagian tengah itu tidak melakukan apa-apa semasa perlawanan.”
Menurut Owen, Maddison mempunyai banyak masa untuk menolak lantunan bagi jaringan kemenangan Tottenham tersebut apabila pertahanan United yang disifatkannya sebagai tidur.
“Situasi ini tidak akan menjadikan tugas Amorim lebih mudah menjelang kunjungan ke Everton selepas ini.
“United hampir tidak mengambil mana-mana pemain, tetapi apabila anda meminta mereka (pemain pertahanan) melakukan satu tugasan mereka akan tidur.
“Terdapat tiga daripada mereka benar-benar tidak melakukan apa-apa. Tidak akan mengasak masuk, tidak agresif dan tidak menandakan sesiapa,sebaliknya hanya duduk di sana,” katanya.
Manchester United akan berdepan Everton di Stadium Goodison Park, pada Sabtu. - Sinar Harian
