The Red Devils akan bertemu bekas pengendali mereka, David Moyes, apabila bertandang ke laman Everton hujung minggu ini, di mana mereka berada satu kedudukan di bawah The Tofees di kedudukan ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir.
Amorim hanya dapat mengumpulkan 14 mata daripada 14 penampilannya sebagai pengurus United setakat ini (empat kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan) dan bekas jurulatih Sporting CP itu mengakui tugasnya "amat sukar" selepas tewas 0-1 di tangan Tottenham minggu lalu.
Pengurus berbangsa Portugis itu juga sentiasa mengulangi pendiriannya untuk tidak mengubah sistem 3-4-3 walaupun United jelas bergelut dengan sistem itu dan dia juga mengakui peningkatan yang ditunjukkan pemainnya amat jarang kelihatan.
"Apa yang saya rasa, adakalanya saya tidak dapat rasa peningkatan dalam pasukan ini tetapi dalam beberapa perlawanan, anda dapat lihat kami boleh bermain dan mencipta situasi," katanya kepada BBC.
"Buat ketika ini, apabila anda melihat permainan kami, anda akan nampak lebih banyak masalah daripada penyelesaian.
"Ia amat jelas. Apabila kami bermain dalam beberapa perlawanan, saya dapat lihat mereka boleh melakukannya dan kami ada kemampuan tetapi kami perlu konsisten." - Stadium Astro
