BUCHAREST: Ruben Amorim menegaskan, walaupun permulaan sukar sebagai pengurus Manchester United, pasukannya perlu mensasarkan kemenangan dalam Liga Eropah (UEL) selepas melangkah ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Steaua Bucharest pada Khamis.

Amorim menjadi pengurus United pertama yang kalah lima daripada sepuluh perlawanan pertamanya dalam semua pertandingan sejak Walter Crickmer pada 1932, tetapi peningkatan terkini membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan di Manchester.

Pengurus dari Portugal itu mengakui, selepas kemenangan mereka di Fulham pada Ahad, dia merasa 10 tahun lebih tua selepas menggantikan Erik ten Hag pada November lalu.

"Saya tidak melihat perbezaan besar dalam cara kami bermain, tetapi hari ini kami mempunyai lebih banyak masa untuk berfikir dan sekarang anda boleh melihat beberapa pergerakan, idea itu ada kerana kami mempunyai lebih banyak masa untuk bermain dan memahami permainan," kata Amorim kepada wartawan.

"Saya rasa kami boleh pergi satu perlawanan demi satu perlawanan dan kami boleh menang. Kemudian anda mempunyai tanggungjawab, tak kira dalam apa jua konteks, anda berada di Manchester United jadi anda mesti berjuang untuk memenangi trofi.

"Apabila anda sampai ke tahap ini dalam mana-mana pertandingan, segala-galanya mungkin dan mereka boleh membuktikan mereka boleh menang menentang sesiapa sahaja."

Kedudukan ketiga United dalam fasa pertama UEL memastikan mereka mengelakkan playoff dua pusingan untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

"Itu sangat penting bagi kami, untuk mempunyai masa untuk berlatih, mewujudkan hubungan antara semua orang, staf, semua orang di latihan, pergi ke padang, mengenali antara satu sama lain dalam persekitaran yang betul," tambah Amorim.

"Selepas itu, kami mempunyai satu minggu untuk menyediakan perlawanan, pada permulaan minggu anda boleh bekerja dengan idea anda dan kemudian mempunyai masa untuk menyediakan perlawanan dan fokus kepada lawan. Saya boleh memahami pemain saya dengan lebih baik." - Agensi