MANCHESTER, ENGLAND: Ruben Amorim menyifatkan situasi di Manchester United (MU) sebagai "memalukan" apabila harus membincangkan ancaman penyingkiran.

Namun, selepas kekalahan 2-0 kepada Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Isnin, beliau mengakui, itulah realiti yang dihadapi pasukannya.

Gol tandukan awal oleh Alexander Isak dan Joelinton memberikan Newcastle kemenangan, sekali gus menambahkan kekalahan MU kepada lima dalam enam perlawanan liga terakhir mereka.

Kelab itu kini memasuki tahun baru di tangga ke-14 liga, lebih dekat dengan zon penyingkiran berbanding kedudukan Liga Juara-Juara.

"Saya fikir (penyingkiran) adalah kemungkinan dan kita perlu jujur dengan penyokong. Kita perlu mengubah sesuatu, tetapi musim ini akan menjadi sangat sukar untuk semua orang. Ia mungkin menjadikan kita lebih kuat dan kita perlu berjuang," kata Amorim.

"Pada masa ini, ia juga salah saya kerana saya rasa pasukan tidak menunjukkan peningkatan, malah tampak hilang arah. Sebagai jurulatih MU, kalah banyak perlawanan sangat memalukan. Tetapi kita perlu hadapi saat-saat sukar seperti ini dalam hidup."

Permulaan karier Amorim di MU jauh daripada sempurna, dengan lima kekalahan dalam lapan perlawanan liga pertama - rekod terburuk bagi seorang pengurus Manchester United dalam 103 tahun.

"Saat yang sangat membimbangkan untuk Manchester United dan Ruben Amorim," kata bekas pemain pertahanan United, Gary Neville, di Sky Sports.

"Dia datang sebagai pengurus muda dan tahu ini adalah tugas besar, tetapi ia jauh lebih mencabar daripada yang dia bayangkan."

Neville menyifatkan MU sebagai "pasukan paling buruk berdasarkan nilai prestasi."

Strategi Amorim menggunakan formasi 3-4-3 telah dipersoalkan, terutama selepas kekalahan terbaharu.

Masalah defensif yang menghantui bekas pengurus Erik ten Hag juga terus menjejaskan Amorim, dengan kedua-dua gol Newcastle disebabkan kelemahan pertahanan.

"Sudah tentu, saya tidak memilih pemain untuk posisi itu, tetapi saya sudah tahu perkara ini," kata Amorim apabila ditanya sama ada pemain yang ada sesuai untuk formasinya.

"Saya perlu menjual idea saya. Jika saya terus menukar strategi, ia akan jadi lebih buruk.

"Tetapi saya faham mereka menghadapi banyak kesukaran, kerana mereka bermain dengan satu gaya selama dua tahun, dan kini mereka beralih kepada gaya lain. Dengan kekalahan yang banyak, ia memang sukar untuk mereka, dan anda boleh lihat sepanjang perlawanan."

"Saya perlu menjual idea saya. Saya tidak ada idea lain."

Momen paling buruk dalam perlawanan ini berlaku apabila Amorim mengeluarkan pemain yang bergelut, Joshua Zirkzee, pada minit ke-33 diiringi sorakan cemuhan penyokong Old Trafford. - Reuters