Jean-Philippe Mateta menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua untuk Palace mendahului pada minit ke-64 dan 89 sekali gus membawa pulang tiga mata penuh dari Old Trafford.
Untuk rekod, ia merupakan kekalahan kelima United yang dikendalikan Ruben Amorim dalam tujuh perlawanan liga di laman sendiri, manakala ia kekalahan ketujuh daripada 13 perlawanan liga di tempat sendiri -paling teruk dalam kempen liga sejak 1893-94- buat United.
Keputusan itu menyaksikan Palace melonjak ke tangga ke-12, dan The Red Devils kekal di kedudukan ke-13.
"Keputusan yang sangat teruk. Prestasi pasukan lebih baik daripada perlawanan sebelum ini," kata Amorim kepada Sky Sports.
"Dua gol yang boleh dielakkan, dan kecederaan Martinez sangat sukar buat pasukan.
"Mungkin perkara biasa buat penyokong berasa negatif, ia adalah musim yang sukar buat mereka, tetapi bola sepak boleh berubah pada saat-saat tertentu.
"Saya akan bersedia untuk aksi seterusnya dan memandang kehadapan. Perkara yang baik akan tiba." katanya. - Stadium Astro