The Red Devils yang direbahkan Arsenal, 0-2 di Stadium Emirates pada 5 Disember lalu, tunduk mengalah buat kali pertama di laman sendiri di bawah bimbingan Amorim selepas mengharungi lima perlawanan dalam semua pertandingan.
Gol dihasilkan pertahanan Forest, Nikola Milenkovic (m-2), pemain tengah, Morgan Gibbs-White (m-47) dan penyerang, Christopher Grant Wood (m-54) sudah cukup memadamkan jaringan Rasmus Højlund (m-18) dan Bruno Fernandes (m-61).
Kelemahan bahagian pertahanan menyelesaikan situasi bola mati sekali lagi menjadi igauan buat bekas pengendali kelab liga Portugal, Sporting de Lisbon yang menggantikan Erik ten Hag selepas dipecat berikutan prestasi hambar United sebelum ini.
"Saya bertanggungjawab apabila berlaku situasi sebegini. Kami berusaha menyelesaikannya dengan cara terbaik, kami melakukan banyak penambahbaikan di kawasan ini selepas melihatnya dalam perlawanan menentang Arsenal.
"Pemain-pemain ternyata tertekan awal perlawanan separuh masa pertama, namun kami berjaya bangkit menyamakan kedudukan sebelum perkara sama berulang separuh masa kedua," kata Amorim.
Anak buah Amorim selepas ini akan berkunjung ke Doosan Arena berdepan Viktoria Plazen dalam aksi Liga Europa pada 13 Disember sebelum ke Stadium Etihad untuk Derbi Manchester Liga Perdana Inggeris berdepan penyandang juara, Manchester City pada 16 Disember. - Sinar Harian