Menurut Statistik Korea, seramai 20,095 bayi dilahirkan pada November 2024, menandakan peningkatan 14.6 peratus berbanding 17,530 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, lapor agensi berita Yonhap pada Rabu.
Ini merupakan kenaikan tahun ke tahun terbesar sejak November 2010, apabila kelahiran meningkat sebanyak 17.5 peratus.
Bilangan perkahwinan turut meningkat dengan 18,581 pasangan melangsungkan perkahwinan pada November, iaitu peningkatan 11.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga November, seramai 199,903 pasangan berkahwin, mencerminkan peningkatan tahunan sebanyak 13.5 peratus.
Korea Selatan telah lama berdepan masalah kadar kelahiran yang menurun kerana ramai golongan muda menangguhkan atau tidak melangsungkan perkahwinan dan keibubapaan.
Sebagai tindak balas, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar untuk menggalakkan perkahwinan dan menyokong pemeliharaan kanak-kanak, termasuk faedah untuk pasangan baru berkahwin dan bantuan penjagaan anak yang diperluaskan.
"Selepas pandemik, kami menyaksikan peningkatan perkahwinan serta kelahiran anak pertama dan kedua. Terdapat juga perubahan secara beransur-ansur dalam persepsi terhadap perkahwinan dan kelahiran anak berikutan dasar kerajaan," kata Im Young Il, seorang pegawai dari Statistik Korea.
Sementara itu, jumlah kematian pada November menurun sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada 29,219. Bagaimanapun, Korea Selatan masih mencatatkan penurunan semula jadi populasi sebanyak 9,124 kerana jumlah kematian terus mengatasi kelahiran, satu trend yang berterusan sejak suku keempat 2019.
-- BERNAMA