PASIR PUTEH: Generasi kini mungkin tidak menyaksikan hidangan berbuka puasa atau iftar dalam talam yang dahulunya satu budaya dalam masyarakat Melayu Islam.

Juadah dalam talam dibawa sendiri oleh masyarakat kampung ke surau atau masjid untuk berbuka beramai-ramai.

Menurut penganjur Majlis Iftar Talam, Zulnabli Mohd Nor, tradisi hidangan talam bermula sejak awal tahun 1900 lagi.

"Tradisi ini telah pun bermula sejak awal lagi, sejak kecil saya ingat ini merupakan pesta yang ditunggu-tunggu.

"Tibanya bulan Ramadan, pihak pengurusan masjid atau surau akan minta hidangan dari setiap keluarga. Jadi di situ kita dapat lihat kerjasama dan kesepakatan penduduk dalam sama-sama membuat talam keluarga," katanya.

Jelasnya lagi, setiap keluarga akan menyediakan pelbagai jenis masakan dan diletakkan di atas talam sebelum dibungkus dengan kain lepas atau kain sarung.

Hidangan talam itu akan dinikmati oleh jemaah surau atau masjid ketika berbuka atau ketika moreh.

Pelbagai hidangan antaranya ayam percik, kerabu jantung pisang, teresek, gulai ikan, sira labu dan sebagainya yang diletakkan dalam hidangan talam itu.

Hidangan talam merupakan satu bentuk kerjasama dan semangat muafakat dalam masyarakat dengan semua pihak memasak dan memyediakan hidangan terbaik untuk dinikmati bersama.

Majlis hidangan talam yang diadakan di Masjid Tengku Abdul Halim, Tasek Tualang Tinggi, di sini dihadiri oleh Tengku Laksmana Kelantan, Tengku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada asnaf di jajahan Pasir Puteh.