Presiden Trump, bagaimanapun, menafikan laporan tersebut dengan berkata: "China tidak akan disebut atau dibincangkan."
Musk sendiri menyeru agar pegawai yang didakwanya telah membocorkan "maklumat palsu yang berniat jahat" kepada New York Times diheret ke muka pengadilan.
Akhbar itu merupakan yang pertama melaporkan berita tersebut.
Namun, lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pertahanan AS itu mencerminkan tahap akses yang luar biasa bagi Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu ekoran syarikat-syarikat yang dikuasainya mempunyai kontrak pertahanan Persekutuan bernilai berbilion dolar.
Sewaktu Musk meninggalkan pejabat Setiausaha Pertahanan pada sekitar jam 10.21 pagi Jumaat, wartawan bertanya kepadanya mengenai pertemuan tersebut.
"Ia sentiasa menjadi pertemuan yang baik. Saya pernah berada di sini sebelum ini, anda tahu," katanya sebelum meninggalkan Pentagon.
Pertukaran kenyataan di khalayak mengenai pertemuan itu berlaku susulan laporan New York Times yang mendakwa bahawa Musk akan diberi taklimat tentang rancangan perang dengan China semasa lawatan tersebut.
Namun, NBC News dan Politico kemudiannya melaporkan, pertemuan di Pentagon itu hanya melibatkan maklumat yang tidak diklasifikasikan.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali memberitahu Reuters, taklimat tersebut merangkumi beberapa topik, termasuk mengenai China.
Trump berkata, New York Times melaporkan secara "tidak tepat bahawa Elon Musk ke Pentagon ntuk diberi taklimat tentang kemungkinan 'perang dengan China'. Ia tidak masuk akal. China tidak akan disebut atau dibincangkan. Betapa memalukan apabila media yang telah hilang kredibiliti boleh mencipta pembohongan seperti ini. Apa pun, laporan itu sama sekali tidak benar!"
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth turut menafikan laporan New York Times dengan memuat naik kenyataan di X, "Ini BUKAN pertemuan tentang 'rancangan perang rahsia dengan China.' Ia hanyalah pertemuan tidak formal mengenai inovasi, kecekapan, dan pengeluaran yang lebih pintar."
Ketika ditanya wartawan mengenai pertemuan itu pada Jumaat, Trump berkata: "Kami tidak mahu berpotensi berperang dengan China, tetapi saya boleh katakan jika itu berlaku, kami sangat bersedia untuk menghadapinya. Namun, saya tidak mahu menunjukkan [rancangan tersebut] kepada sesiapa pun."
Beliau turut mengakui kebimbangan berhubung lawatan Musk ke Pentagon yang kini menarik perhatian kerana kemungkinan konflik kepentingan, dengan berkata: "Anda tidak akan tunjukkannya kepada seorang ahli perniagaan."
"Elon mempunyai perniagaan di China dan mungkin dia boleh terpengaruh dengan hal itu," kata Trump.
Tesla, syarikat kenderaan elektrik milik Musk, mempunyai dua fasiliti di Shanghai, China. Starlink dan SpaceX, dua lagi syarikat milik Musk, turut mempunyai kontrak dengan Pentagon.
Sejak Trump kembali ke White House, Musk, sebagai ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan (Doge), telah memimpin satu pasukan petugas pemotongan kos untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara agresif melalui pemotongan dana dan pemecatan. - Agensi
