
Menurut Musk, sistem internet satelit Starlink menjadi tulang belakang kepada ketenteraan Ukraine dan barisan hadapan negara itu akan runtuh jika beliau memutuskan untuk menutup perkhidmatan berkenaan. - Gambar fail Reuters
MOSCOW: Usahawan jutawan Amerika Syarikat (AS) Elon Musk berkata pada Ahad, sistem internet satelit Starlink menjadi tulang belakang kepada ketenteraan Ukraine, sambil memberi amaran bahawa barisan hadapan negara itu akan runtuh jika beliau memutuskan untuk menutup perkhidmatan berkenaan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Sistem Starlink saya adalah tulang belakang tentera Ukraine. Seluruh barisan hadapan mereka akan runtuh jika saya menutupnya," kata Musk menerusi platform X.
Beliau turut menyeru supaya konflik ditamatkan.
Terdahulu, media Barat melaporkan bahawa rundingan antara perunding AS dan Ukraine mengenai akses syarikat-syarikat Amerika kepada sumber mineral Ukraine didakwa turut menyentuh kemungkinan memutuskan akses Ukraine kepada Starlink.
Bagaimanapun, Musk menafikan dakwaan itu.
-- BERNAMA
