Ketika insiden itu, Willie Salim dikatakan membeli seekor lembu berharga kira-kira 50 juta rupiah (RM13,392) untuk memasak 200 kilogram (kg) rendang daging yang akan diberikan kepada 20,000 penduduk di Palembang, Indonesia.
Proses penyediaan bumbu bersama pasukannya turut dibantu penduduk setempat.
Setelah semua bahan dimasukkan ke dalam kuali, Willie meminta tempoh berehat selama 15 minit dan dia kemudiannya ke tandas.
Apabila dia kembali semula, kesemua daging 'hilang' langsung tiada sisa yang tinggal meskipun ia belum siap dimasak.
Anggota keselamatan yang berada lokasi itu juga gagal untuk mengawal ribuan penduduk yang berebut-rebut mahu mengambil daging mentah tersebut tanpa menghiraukan kuali panas.
Willie menerusi catatan di media sosial miliknya menyifatkan ia sebagai 'kejadian pertama dalam sejarah' dan turut berseloroh, '200kg rendang daging 'lesap' hanya dalam tempoh 15 minit'. - Sinar Harian memetik agensi
