PETALING JAYA: Selepas hampir sembilan tahun bergandingan dalam beregu campuran, Lai Pei Jing tekad mengakhiri perjalanan bersama Tan Kian Meng dengan prestasi terbaik tanpa dibayangi tekanan atau penyesalan, pada Kejohanan Seluruh England 2025 yang akan bermula pada Selasa ini.

Meskipun hubungan mereka sebagai rakan sepasukan sering diuji dengan perbezaan pendapat, Pei Jing percaya setiap cabaran yang mereka hadapi telah membentuknya menjadi pemain yang lebih matang dan berdaya saing.

"Dalam beregu, pergaduhan itu perkara biasa. Kami selalu berbeza pandangan, tetapi akhirnya, kami tetap mencari jalan untuk mengatasi setiap cabaran bersama.

"Saya dan Kian Meng sudah hampir sembilan tahun bersama. Jadi, semuanya sudah berakhir. Saya hanya mahu menikmati setiap pergerakan terakhir kami di gelanggang," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai antara penerima inisiatif tajaan ACE Integrated Sdn Bhd di sini malam tadi.

Pei Jing turut mengakui dirinya berada dalam keadaan fizikal terbaik menjelang kejohanan itu sementara Kian Meng tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan walaupun tidak lagi fokus sepenuhnya selepas mengumumkan persaraan.

"Kondisi saya sangat baik, dia (Kian Meng) pula walaupun tidak lagi komited sepenuhnya dalam latihan, tetap serius dan memberikan 100 peratus usaha. Jadi, apa pun yang berlaku, saya akan menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Mengimbas kembali detik manis dalam kariernya, Pei Jing menyifatkan kejayaan menjuarai Terbuka Korea 2022 sebagai pencapaian paling bermakna kerana ketika itu beliau sedang berdepan cabaran peribadi apabila abangnya menjalani pembedahan akibat darah beku di otak.

Selepas menamatkan gandingannya bersama Kian Meng, Pei Jing bertekad untuk terus berjuang dalam dunia badminton sektor beregu campuran dengan membimbing pemain muda, Jimmy Wong sebagai seorang "kakak" dalam sukan ini.

Terdahulu, ACE Integrated, sebuah syarikat hiburan dinamik memaklumkan komitmen mereka dalam menyokong bakat Malaysia yang berpotensi tinggi kerana mereka percaya dengan sokongan yang tepat, atlet mampu merealisasikan impian serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.

Pei Jing dan seorang lagi pemain dart profesional Zulrizan Azdan menjadi penerima pertama inisiatif itu dengan Pei Jing dianggarkan menerima tajaan kewangan berjumlah RM50,000 untuk tempoh setahun.

Sementara itu, Zulrizan yang telah berkecimpung dalam dunia dart sejak 2005, bersyukur kerana buat kali pertama dalam kariernya beliau akan menerima sokongan daripada pihak tajaan.

"Pastinya akan lebih bersemangat mahu memperkenalkan lagi kewujudan sukan dart dan bawa ke tahap lebih tinggi, jadi terima kasih banyak-banyak kepada ACE Integrated atas kepercayaan ini," katanya.

-- BERNAMA