Herry bagaimanapun mengakui perubahan itu tidak boleh berlaku sekelip mata, memandangkan beliau memerlukan masa untuk melakukan transformasi pada corak permainan Aaron-Wooi Yik.
"Memang mereka memerlukan waktu, tidak boleh cepat. Kita harus (melakukannya) perlahan-lahan dan berharap di All England ada perubahan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Beliau berkata antara perubahan sedang dilaksanakan untuk Aaron-Wooi Yik dan pasangan negara lain ialah beraksi lebih agresif serta cuba mengadaptasi trend permainan beregu dunia yang sering bermain dengan pukulan secara mendatar ketika ini.
Herry atau lebih dikenali 'Herry IP' juga menyifatkan barisan anak buahnya telah mempamerkan kemajuan agak baik sejak beliau memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 1 Feb.
"Mungkin kalau saya tengok dahulu, mereka masih biasa angkat bola namun cara saya no lift (tidak). Jadi saya harus memaksa mereka dan selama seminggu lebih ini (ada kemajuan) sudah cukup baik," katanya.
Mengenai pasangan muda negara Kang Khai Xing-Aaron Tai, jurulatih yang diberi julukan 'Naga Api' itu mengakui jurang permainan juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia (WJC) 2024 dengan pasangan senior di ABM masih jauh.
Bagaimanapun, beliau optimis mampu merapatkan jurang itu tidak lama lagi berbekalkan masa dan sesi latihan bersama pasangan senior selain berharap mereka layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
"Mereka ada potensi dan pintar. Jadi kita harus benar-benar jaga supaya jangan sampai cedera," katanya.
Herry ditawarkan kontrak empat tahun oleh Persatuan Badminton Malaysia dan merupakan jurulatih berprofil tinggi serta berjaya membuktikan sentuhan 'magis' dengan membentuk gandingan bertaraf dunia dari Indonesia.
Antara pencapaian hebat beliau ialah melahirkan juara Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
Ini kali pertama jurulatih berusia 62 tahun itu melangkah ke luar negara setelah 31 tahun mengabadikan diri membimbing skuad badminton Indonesia.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)