Aaron-Wooi Yik terlepas untuk mengesahkan tempat lebih awal berikutan terkandas dalam suku akhir Masters China kepada wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, malam tadi, namun pencabar terdekat, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, turut tersungkur sekali gus gagal menggugat kedudukan gandingan kebangsaan itu.
BWF dalam ciapan di laman X mengesahkan Aaron-Wooi Yik dan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, melengkapkan senarai lapan beregu yang akan beraksi dalam pusingan akhir kelak.
Aaron-Wooi Yik yang akan membuat penampilan kelima kejohanan itu akan mengiringi rakan senegara di bahagian profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Malaysia akan mempertaruhkan enam wakil termasuk beregu campuran, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, sementara Pearly Tan-M Thinaah, akan bersaing dalam beregu wanita dan perseorangan profesional, Lee Zii Jia. -- Stadium Astro
