Pinjaman tersebut sepatutnya dibayar semula pada 24 Mac, tetapi China bersetuju untuk menangguhkannya bagi menyokong kestabilan ekonomi dan usaha pemulihan Pakistan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Pelanjutan ini akan membantu Pakistan mengekalkan rizab pertukaran asingnya dan mengukuhkan kestabilan kewangan,” tambah kenyataan itu.
China telah menjadi rakan ekonomi utama Pakistan, memberikan bantuan kewangan dan pelaburan, khususnya di bawah inisiatif Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).
Lanjutan ini dibuat ketika Pakistan terus berdepan cabaran ekonomi, termasuk krisis imbangan pembayaran dan rundingan berterusan dengan pemberi pinjaman antarabangsa bagi mendapatkan bantuan kewangan tambahan.
Pegawai kerajaan menyatakan, penangguhan pembayaran balik ini akan mengurangkan tekanan kewangan segera, membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan ekonomi.
Selain itu, awal minggu ini, Pakistan dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) secara rasmi memulakan perbincangan bagi semakan pertama program Extended Fund Facility (EFF) bernilai AS$7 bilion yang diperoleh tahun lalu.
Menurut Kementerian Kewangan, delegasi IMF yang diketuai oleh Nathan Porter telah bertemu dengan Menteri Kewangan Pakistan, Muhammad Aurangzeb, di Islamabad bagi membincangkan situasi ekonomi negara secara keseluruhan.
Dalam pertemuan itu, Pakistan memberi jaminan kepada IMF mengenai komitmennya terhadap disiplin fiskal dan reformasi ekonomi, selaras dengan rundingan semasa mengenai tinjauan ekonomi terkini.
Menteri Kewangan, Muhammad Aurangzeb turut memberi taklimat kepada delegasi IMF mengenai keadaan makroekonomi negara, kutipan hasil, dan kemajuan reformasi struktur.
Beliau menegaskan, Pakistan tetap komited untuk memenuhi syarat program pinjaman AS$7 bilion tersebut. - Agensi
