BEIJING: China akan mengenakan tarif tambahan ke atas beberapa produk yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa 10 Mac, menurut Suruhanjaya Tarif Kastam Majlis Negeri pada Selasa, lapor Xinhua.

Tarif tambahan sebanyak 15 peratus akan dikenakan ke atas ayam, gandum, jagung dan kapas yang diimport dari AS, menurut kenyataan suruhanjaya itu

Sementara itu, sorgum, kacang soya, daging babi, daging lembu, hasil perikanan, buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus.

Pengumuman itu dibuat susulan tindakan AS mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas produk yang diimport dari China, berkuat kuasa 4 Mac.

Tindakan unilateral AS mengenakan tarif telah melemahkan sistem perdagangan pelbagai hala, meningkatkan beban kepada perniagaan serta pengguna di AS di samping menjejaskan asas kerjasama ekonomi serta perdagangan antara China dan AS, menurut suruhanjaya itu.

-- BERNAMA